Thursday

SIDANG PARA MONYET


Malim memasuki sebuah ruangan dengan cahaya remang-remang tempat sejumlah makhluk berkumpul.Setiap ketua mendahului puak-puak yang lain.Pintu-pintu yang menembus penglihatan manusia di tutup ketika dua belas pendahulu membentuk dua garis sejajar dan suasana menjadi hening.Cahaya menerpa wajah-wajah mereka di kegelapan dan hanya mata mereka yang tampak hidup.Malim mundur beberapa langkah ke suatu sudut, memerhati ketika zikir segera dimulai.Sang pemimpin mula berayun kekiri dan kekanan.Bermula dengan sangat lambat kemudiannya di ikuti makhluk berbagai rupa dan bentuk.Setiap kali tubuh mereka condong ke kiri bergema suara mengucapkan `HU` secara serentak,`HU`.....`HU`.....`HU`....! Ritual mereka ternyata berbeda dari zikir di dalam stadium bolasepak atau Auditorium nyanyian yang terlalu sedikit manfaatnya.Terasa di kalbu Malim betapa lalainya Malim selama ini sedang penganut tradisi lainnya yang relatif masih bertahan.

Dari semua kefahaman selama enam abad selanjutnya kami melihat kesuraman di balik jubah pendeta dan melihat kelompok rahib yang berjubah lusuh mencari-cari kebenaran.Pengemis-pengemis semakin kurang ajar dan tidak beradab kerana kesombongan ahli-ahli faqih nya.Tidakkah ini memperlihatkan betapa khalifah engkau sudah terlalu asyik mencampurkan kebathilan didalam setiap pesta mereka?`Soal seekor monyet tua sambil menyorot mata.Malim terpinga-pinga kerana tidak tahu apa-apa.Seekor monyet lain membentak.`Apa perlunya kita bertanya kepada orang yang paling bodoh di antara manusia`Malim hanya diam membisu kerana jauh di sudut hati masih bertanya-tanya kemanakah zikir yang mengasyikkan itu hilang dan bila pula waktunya sidang para monyet ini tiba-tiba sudah berjalan .`Orang yang paling pandai di antara manusia sedang sibuk menumpahkan darah dan memusnahkan bumi`sambut yang lain sedang makhluk-makhluk berbagai rupa dan bentuk tunduk terdiam tanpa suara.Namun nafas mereka masih kedengaran turun dan naik serta bergema di segenap pelusuk `HU`.....`Hu`.....`HU`.


Malim cuba-cuba mencuri dengar nafas yang keluar masuk dari lubang hidung Malim sendiri.Tidak ada bunyi dan tidak ada makna.Hanya dada Malim yang turun naik memberi maksud paru-paru Malim masih mengepam udara semenjak berpuluh tahun yang lampau.`Bukankah sudah ku katakan panggil pendeta yang paling bijak di antara mereka,yang paling tahu sejarah kekhalifahan dan yang paling arif tentang hukum-hukum`Bentak monyet tua sambil memandang tajam kepada Malim.Malim tunduk kehilangan kata-kata.Bukan Malim yang suka-suka datang kesini.Bukan Malim juga yang pandai-pandai melangkah ke dewan sidang ini.Tidak mampu Malim menjawab pertanyaan itu sedang persoalan di dalam diri Malim sendiri tidak berjawab untuk sekian lama.`Halau si tolol ini duduk di meja paling belakang`Perintah monyet tua yang putih seluruh tubuhnya.Tanpa perlu menunggu sang algojo menyeret dengan penuh kehinaan Malim kemudiannya berlari,merangkak,berguling dan menyeret sendiri kebodohan dan kelalaian Malim di celah-celah sifat kebinatangan dan duduk di tempat paling jauh untuk memerhati perjalanan sidang.Malim berharap dapat menerima sedikit kefahaman dari perbincangan yang sedang berlansung.


Terlalu sunyi di sini sehingga Malim seolah-olah dapat mendengar nafas setiap dari makluk berbagai bentuk itu turun naik dengan nada dan irama yang sama.`HU`.....`HU`.....`HU`.Namun dalam masa yang sama juga Malim mendengar mereka berkata-kata dengan suara yang paling lunak.`Apa pendapat mu tentang khalifah kita yang berada di sebelah timur sana,bukankah mereka yang paling hampir dengan warisan seribu empat tahun yang lampau`Soal monyet tua kepada wakil dari DARL al-harb.`Aku tidak tahu dan aku sudah tidak dapat membezakan `ujar ketua puak.`Mereka sudah kelihatan seperti binatang-binatang ternakkan`Monyet tua kembali menyorot pandangan tajam kepada Malim.Malim menundukkan kepala apabila seluruh ahli sidang juga melemparkan pandangan seolah-olah meminta Malim berkata sesuatu.`Bukankah telah di sampaikan peringatan kepada kamu..tetapi kamu membantah`Malim menggeleng-gelengkan kepala.`Aku tidak tahu`.`Bukan kah kamu sebaik-baik kejadian?`Malim menggeleng lagi.`Aku tidak tahu`.`Bukankah kamu yang menerima amanah menjaga dewan kehidupan ini dan memimpin setiap jiwa supaya tunduk kepada peraturan dari samawi?`Malim terus menggeleng-geleng kepala sehingga pening dan tidak lama kemudian Malim melihat diri Malim jatuh pengsan namun pendengaran Malim masih mendengar nafas makhluk berbagai rupa dan bentuk bergemuruh dengan nada yang sama`HU`.....`HU`.....HU`

PONEK-SOMAK-LOMEH


Maka di pertemukan lah oleh Tuhan Malim yang bijaksana ,akan Malim yang bodoh ini dengan dua orang sahabat yang telah menjadi guru di dalam bidang masing-masing di suatu alam bernama SHAMELIN PERKASA .Di riwayatkan sahabat pertama itu menjadi gurulah dia didalam alam seni lakon sejak sekian lama sehingga memahamilah akan dia dan menjadi ahli lah akan dia di dalam alamnya sementara sahabat malim yang kedua itu pula menjadi guru pula lah dia di dalam alam persilatan serta menjadi ahli lah dia di dalam dunia gerak dan diam itu.Maka tersangat-sangatlah lah beruntungnya Malim di perdampingkan dengan kedua-dua guru tersebut tanpa perlulah Malim mentelaah kitab adab-adab kedua alam itu yang pastinya mengambil masa yang teramat panjang untuk di fahami.Berkatalah guru di alam lakon tentang lakonan-lakonan jiwa yang di sebut lah ia dengan istilah concuios(tiadalah Malim ketahui akan ejaan yang betul sekadar mengagak-agak sahajalah Malim mengikut bunyi tata bahasa yang keluar dari hatinya) kemudian dari itu sub-concuios(sebutan yang malim dengar pada malam itu ialah konshes) dan kemudian dari itu un-concuios(tiadalah Malim perduli andai di ketawakan akibat kebodohan Malim mengeja perkataan tersebut)-kerana apa yang ingin Malim ceritakan betapa terujanya Malim apabila di gabungkan istilah-istilah itu sehinggalah ia mencapai suatu keadaan yang di sebut hijacked emotion atau emosi yang di hijacked atau emosi yang di culik oleh beberapa unsur emosi yang lain sehingga terbatal dan menyalahi adat lah pembawa emosi atau kenderaan jiwa tersebut.

Tidak dapatlah Malim sebutkan di hadapan keduanya betapa bersyukurnya Malim apabila mendengar huraian tersebut kerana dapat lah ia menjawap sebahagian dari soalan yang sudah lapan juta tahun tersimpan dalam saluran pankereas Malim.Terpinga-pingalah Malim beberapa detik dan waktu apabila mengetahui betapa serabutnya alam istilah yang telah di beri nama begian-begian bunyinya dan demikian-demikian pula sifatnya.Keserabutan dengan HAL-HAL ini rupanya mempunyai terlalu banyak istilahnya.Namun pula terlalu banyak kebaikkannya apabila di susun sedemikian rupa untuk membolehkan makhluk -makhluk bersifat baharu memandang kepada rahsia-rahsia strebentuen dan memahaminya.Di istilahkan lagi akan Emosi yang telah di culik ini keadaannya(Malim simpan di dalam file yang lain tentang 12 juta tentang pertanyaan siapakah yang berkuasa menculiknya selain yang berkuasa atasnya juga) akan merayau ke segenap pelusuk alam antara cahaya yang dapat di dengar dan bunyi yang dapat di lihat.Antara jalan berdua yang karam seorang serta yang menghantar 73 dan yang sampai hanya satu.Maka demikian lah juga sahabat Malim yang menjadi guru di alam persilatan menyebut ada sesuatu di situ.Malim mengangguk-angguk sambil mengunyah tosei sementara 4 helai daun halus menimpa Malim sehelai demi sehelai.Terlalu banyak ilmu yang turun sehinggakan Malim tidak sempat mencatat walau sebaris pun kerana sibuk pula fikiran Malim menepis berjuta-juta lagi soalan yang berasak-asak mahu keluar dari segenap rongga yang Malim pasti tiada siapa sanggup menjawabnya kecuali Tuhan ..sehingga jam melewati satu pagi tiada apa yang dapat Malim ingat tetapi tidak satu pun Malim lupa.Terlalu seronok Malim sehingga alpa dan terlupa akan hakikat Malim yang masih terkurung di dalam baldi yang sama.Usul yang tidak pernah tamat sehingga molikul oksigen terakhir meninggalkan otak suatu ketika nanti atau selepas ini (sebelum tidak mungkin kerana sehingga pagi ini malim masih sibuk mentadbir HAL dan AHWAL diri)

Dalam perjalanan pulang..berbisiklah buah pinggang Malim.`Mari ku khabarkan kepada mu suatu cerita…`Seorang pemuda gila yang lari dari rumah sakit jiwa merayau-rayau di dalam sebuah pekan dengan memakai pakaian yang tertulis `HOSPITAL BAHAGIA ` di bahagian belakang bajunya dan `HAK MILIK KERAJAAN` di bahagian poket kanan bahagian hadapannya.Petugas-petugas hospital yang di arahkan mencari dengan mudah menjumpainya lantas mengenali pemuda tersebut.Mereka mengepung lalu menangkapnya.Si pemuda lantas bertanya`bagaimana kamu semua mengenali aku?` `Dari pakaian mu` pantas jawap petugas-petugas hospital dengan penuh bijaksana.Dengan lemah lembut Pemuda tersebut bertanya lagi `LALU BAGAIMANA ENGKAU PASTI BAHAWA AKU ADALAH AKU?`Di kahabarkan dalam riwayat yang mahsyur beberapa tahun kemudiannya si pemuda lari untuk kali yang kedua dan tiada sesiapa mencarinya kerana petugas-petugas yang di arahkan mengawalnya turut lari bersama.

TAMAN RAHSIA


Ada pun ahli serabut itu suatu komuniti rahsia spiritual(free masonary) kuno yang belumlah pernah di telusuri akan dia atau di catat akan asal usulnya secara terperinci sebagaimana orang membelak jerawat yang baru tumbuh semalam.Malah ahli-ahli serabut terlalu sibuk dengan keserabutannya menyusun file-file yang berterabur di dalam kepala masing-masing atau sekali-sekala bersidang dengan ahli-ahli serabut yang lain mencari maklumat-maklumat baru untuk di masukkan kedalam file-file yang baru di dalam kepala sebagai rujukkan apabila terlibat dengan keserabutan dunia.Oleh kerana itu lah Malim berpendapat kebanyakkan dari mereka ini tidaklah tertarik hatinya untuk membukukan fakta tentang dirinya kerana sudah puaslah menjelaskan fakta dengan perspektif mereka itu sendiri di berbagai kawasan dan masa yang berbeda-beda.
Meski pun secara umum fakta mereka itu di salah fahami sebagai `rosak akal` atau `menyalahi adat` namun para ahli serabut telah di kenali dalam semua keadaan.Tiadalah ahli-ahli serabut ini terikat pada dogma keagamaan yang setipis apa pun.Mereka tidak mempergunakan tempat peribadatan khusus,tidak memiliki tempat suci,organisasi kependetaan atau pun instrumen keagamaan yang lain.Bah kan mereka tiadalah di sebut sebagai keoompok yang memaksa manusia lain dengan doktrin mereka.Ahli serabut tidak lebihlah ia dari suatu nama panggilan yang mereka terima dengan selera humor yang tinggi.Kepada ahli-ahli serabut ini sukalah Malim memanggil mereka dengan panggilan `sahabat`atau lebih feel lagi apabila kita menyebutnya sebagai `saudara seserabut`.

Kita mengenal antara satu sama lain melalui sikap pendirian tertentu serta banyak `HAL` berkaitan yang seumpama WEB lah sifatnya jika di alam internet ini.Setelah Malim membuka sedikit ruang kepada paham sahabat untuk meneroka selangkah ke alam biol ini sukalah Malim berpesan kepada diri Malim sendiri,jiran-jiran Malim,ketua kampung Malim,bidan esah,tuk ngah sudin serta kawan-kawan beserta seluruh makhluk di dalam mayapada yang fana ini agar kita sama-sama berpegang teguh kepada perinsip utama kita.Kalian harus bebas dari cita-cita,keserakahan,kebangaan intelek,taklid buta,takut pada adat serta buang jauh-jauh ketakutan terhadap peribadi-peribadi yang mempunyai kedudukkan lebih tinggi.Namun di alam serabut ini kita tetap menghormati ritual-ritual agama selama ia tidak terlibat dengan perkara yang bidaah dan khurafat.


Pengetahuan itu ada dua jalan pahamnya-PERTAMA: pengetahuan melalui perbahasan dan yang terkemudian dari itu melalui pengalaman sendiri mau pun orang lain.Akan tetapi perbahasan itu mengandungi berbagai `conclusion` dan satu pihak yang lain memaksa kita untuk mengakuinya.Malim percontohkan di sini-Seseorang yang baru terserempak dengan harimau bercerita kepada kita perihal ketakutannya itu tadi.Walau pun sampai tergolek-golek atau berguling-guling lah dia menceritakannya,tidak lah sama ketakutan orang yang mendengar dengan orang yang bercerita.Terkadang-kadang sambil memakan kacang tanah sahaja lah kita mendengarkannya sambil mengangkat-angkat kening antara percaya dengan tidak.Maka pengetahuan itu tahap karipap sahaja lah darjatnya.Akan tetapi apabila kita sendiri telah `kantoi` dan terserempak dengan harimau tersebut secara berdepan atau `one by one`-maka itu lah pengetahuan yang sebenar-benarnya dan yang paling real.Sehinggakan apabila di sebut sahaja harimau maka akan meremang-remang lah akan bulu ketingnya dan berguguran lah bulu hidungnya kerana saspen di tahap melampau.Ada pun ilmu yang pertama tidaklah menghasilkan ia kepastian atau pun menghilangkan keraguan malah bertambah lah persoalan-persoalan dan bertimbun-timbunlah file didalam kepala otak kita-Sehinggalah jawapan di temukan melalui pengalaman sendiri atau himpunan-himpunan pengalaman daripada sahabat-sahabat yang boleh di percayai.Pada tahun 1268,Bacon telah merintis ilmu pengetahuan moden sekaligus mengemukakan suatu kebijaksanaan sebagai dasar ilmu pengetahuan.Ini bermaksud sejak awal lagi pemikiran `ilmiah` sebenarnya telah bekerja secara berkesinambungan dengan tradisi keserabutan.


Menyebut tentang serabut tiba-tiba teringatlah Malim betapa serabutnya file-file yang Malim bentangkan dalam sidang para monyet ini dan betapa serabutnya otak kalian cuba memahamkan serta menyusunnya.Tidak kurang juga yang yang mengeluarkan pula keserabutan dalam otaknya tanpa di sedari oleh mereka itu secara otomatiknya terdaftar lah mereka itu sebagai ahli.Maka jangan lah saudara-saudara dan sahabat-sahabat Malim sekalian bimbang kerana apabila kalian berfikir,otak-otak kalian bekerja,apabila otak bekerja maka ia memerlukan oksigen,dengan itu jantung pun mengepam darah untuk membekalkan oksigen kepada otak..apabila otak mendapat bekalan oksigen yang cukup ia menjadi sihat dan bertenaga.Apa bila otak sudah kuat dan bertenaga maka boleh lah anda memikirkan jawapan `Warna apakah baldi di atas motosikal tempohari`?????(Malim sendiri sedang memikirkan warna baldi tersebut kerana teka-teki itu di beri kepada Malim oleh seseorang yang lain)

Wednesday

STREBENTUEN


Salam Sejahtera buat seluruh isi bumi yg tercinta.
Baik yang terbang atau yang melata.Yang ghaib hilang atau yang nampak nyata.

Yang menjaga lisan atau yang mencarut sepanjang masa.Yang tau hukum atau yang memang gila.
Yang sibuk memanjang atau yang langsung takde kerja. Yang Alim dan yang zalim.
Yang bijak dan yang takde otak, yang berbudi bahasa dan tak reti bahasa,
Yang jual rojak dan yang jual CD cetak rompak, yang pegang janji dan yang kelepet duit Tabung Haji,
Yang bisnes labu peram dan mangsa yang masih geram,
Yang masih gembira sebab tak bayar hutang Mara atau sesiapa pun lah yang masih ada nyawa,
sama ada 'solo' atau yang ramai saudara mara.
Sama ada yang glamer atau yang semua orang tak 'gemar' dia,
sama ada yang berpolitik atau yang tak pernah mengundi..


Pendek kata panjang bicara, semua seisi Alam moga bahagialah hendaknya dengan skrip masing-masing dan 'happy ending' jua lah diharapkan. Sabau-sabau le menjalani hidup yang penuh silap mata dan teka-teki ini. Berlapang dada le hendaknya. Jangan cepat berhukum, jangan cepat menghukum sedang ilmu tak sampai sebesar kepala jarum.

Andaikan ada kemaslahatan, gunakanlah talian hayat atau dwi-pilihan. Alam ini terlalu luas Ilmu Alamnya.Sejarah itu terlalu panjang sejarahnya. Yang berdosa jangan terus dikeji, yang mulia jangan terus dipuji.Elok keduanya ditimbang uji. Jatuh mana yang tidak ke bawah, rebah mana yang tidak tumbang, pinjam mana yang tidak hutang, bodoh mana yang tidak bangang...tapi jatuh belum tentu pecah, rebah belum tentu K.O, hutang mungkin akan berbayar, bangang mungkin akan pandai.

Alam ini berlapis-lapis.Alam ini berbagai-bagai. Alam ini sandar-menyandar. Alam ini berpasang-pasang. Ada siang ada le malam. Ada kiri adala kanan, ada atas ada le bawah, ada Ultraman ada le raksasa. Ada komputer ada le disket, ada itu ada le ini...

Dah tu buat apa le salah menyalah, keji mengkeji, tembak-menembak, hina menghina, fire-memfire. Apa le ke salahnya muafakat elok-elok.

Sebab ada kuman le ada spital dan ada doktor dapat cari makan.
Sebab ada orang bodoh le cikgu ada kerja, tak pasal-pasal, makcik kantin boleh tumpang sekaki, kontraktor dapat tender buat sekolah, kilang simen pon untung, dah terlibat pulak syarikat jual lori...sapa nak pikul simen ratus-ratus kampit tu?

Jadi kalau ada le sesapa menghina orang bodoh, maksudnya dia sendiri le bodoh, sebab tak nampak ilmu di sebalik kejadian.Bak kata seorang Syeikh, "Dunia ini boleh dijahanamkan oleh orang-orang pandai." Iye le pulak, yang buat bom, buat peluru Nuklear, buat jet pejuang tu takkan lulusan darjah tiga epal pulak. Abih yang merangcang strategi perang tu koman-koman punya orang ke?Jadi apa-apa hal pon...elok direnung dalam-dalam, fikir panjang-panjang dan diusul sampai jadi STREBEN-TUEN -

DARI SATU KEPADA YANG BANYAK.
















BACA LAH JIKA ENGKAU SEMEMANGNYA TAK ADA BENDA LAIN NAK BUAT.

Assalamualaikumwarrohmatullahiwabarokatuh.
Salam sejahtera buat semua makhluk yang berada di alam virtual ini...semoga kalian berada dalam keadaan bahagia selalu dan mampu tersengih 24 jam dengan permainan-permainan duniawi.Setelah bermenung-menungan untuk sekian kalinya Malim akhirnya di beri kekuatan untuk memulakan sesuatu yang Malim sendiri tidak faham.Sekadar menyampaikan hajat seorang sahabat yang meminta Malim menulis sedangkan Malim sampai saat dan ketika ini masih tidak tau menulis dengan baik.

Setiap tulisan Malim adalah kejahatan,kekejian dan kebodohan jiwa Malim semata-mata.Maka berfikir lah Malim tulisan apa yang akan Malim persembahkan kepada khalayak dan dalam bentuk apakah yang ingin Malim susun perkataan-perkataan itu sehingga menjadi ayat lazim atau ayat perintah atau ayat bangun kena buat atau ayat yang akan membuka minda kalian semua melangkah ke alam biol.

Terlalu banyak perkataan-perkataan yang Malim himpun dalam kepala sehingga sendat dengan maklumat yang entah hapa-hapa...fail dalam kepala Malim bersepah-sepah tidak tersusun cantik seperti mana fail-fail di dalam kepala cerdik pandai yang lain.Lebih banyak soalan di dalam kepala Malim daripada jawapan kepada setiap HAL di alam syahadah ini.Kalau persoalan tentang akhirat Malim bulih cari jawapanya dalam kitab tafsir Al-quran....tapi apabila persoalan yang bermain dalam kepala Malim ni tentang macamana nak hidup tenang di zaman serabut ini Malim mati kutu.Apa yang Malim tengok dan lalui tidak sama dengan ilmu yang Malim pelajari di sekolah rendah atau menengah atau universiti.

Sehingga ke hari ini Malim masih lagi berfikir dan setiap kali Malim menemui jawapan kepada persoalan itu Malim temui juga persoalan-persoalan yang baru.Dalam kepala Malim bagai ada satu sidang meja panjang,perdebatan yang tidak pernah mahu berhenti dengan hujjah-hujjah yang sering mengorbankan masa tidur Malim.

Jangan sebut ansomnia..kerana istilah-istilah sedemikian tidak sesuai untuk Malim kerana Malim sudah ada istilah sendiri bagi setiap HAL yang maujud .Jangan marah kalau Malim tersilap memberikan nama-nama pada setiap topik yang akan Malim bicarakan.Untuk memahamkan BAB ini izinkan Malim menceritakan tentang satu teka-teki.-

Soalannya; ATAS SEBUAH LORI,ADA SEBUAH MOTOR,ATAS MOTOR ADA BALDI..APAKAH WARNA BALDI ITU?`(ambillah tempoh seberapa lama yang kalian suka untuk memikirkan jawapan kepada teka-teki Malim itu-samada satu minit,lima minit,satu hari,tujuh bulan atau lapan tahun atau juga seumur hidup kalian.ikut suka hatilah)..namun setiap jawapan kalian adalah SALAH dan BETUL MENGIKUT masa,keadaan dan tempat.

Bagi Malim teka-teki seharusnya menjadi teka-teki selamanya....hanya soalan-soalan objektif sekolah rendah yang mempunyai jawapan (a) atau (b) atau (c) atau (d) atau (e) atau kesemua yang di atas.....Hakikatnya setiap manusia akan mendakwa jawapan merekalah yang paling betul sehingga lupa sebenarnya jawapan orang yang menjual teka-teki lah yang paling tepat.Lantaran kerana itu setiap manusia mempunyai teka-teki dalam kehidupannya sendiri dan dialah juga orang yang paling layak menyelesaikannya.

Masalah yang timbul ialah kerana rasa tidak puas hati manusia kepad jawapan-jawapan manusia lain yang tidak menepati hujjah nafsunya ..akan tetapi nafsunya jugalah yang meminta ia mencari jawapan dari orang lain.Tidakkah itu suatu keserabutan yang nyata.

Cukup sampai di sini dulu mukaddimah Malim kerana Malim tahu otak kalian sudah mula bersimpul dan persoalan-persoalan sudah mula bermain di kepala otak kalian.Tidak kurang yang sudah mula meletak hukum dan mula mencari-cari hukum yang sesuai untuk memuaskan nafsu-nafsu diri yang mula menjadi huru hara dengan hujjah-hujah dan kenyataan-kenyataan strebentuen-seperti...

(1) apa benda yang dia tulis ni...ntah hapa-hapa (2) merepek jer la budak Malim ni (3) chiesttt..buang masa jer aku baca..mengarut jer (4) Rasa macam nak paham..tapi tak bulih tangkap lagi...ish serabut betul (5) wei...kau nak cakap apa sebenarnya ni.....dan ada lah beberapa ratus lagi soalan yang hanya korang sendiri yang tau.

Tapi jangan bimbang....untuk mendapat jawapannya memerlukan proses yang panjang dan mengambil masa yang amat lama namun akan Malim terangkan secara berperingkat-peringkat kerana buat masa ini Malim sendiri masih mencari-cari jawapannya.cuma apa yang Malim harapkan persoalan Malim akan menjadi jawapan kepada korang dan persoalan korang akan menjadi jawapan kepada persoalan Malim ......HAahHHHhhh.....nampakkkk?? itu pun sudah di kira satu jawapan yang memadai buat masa ini dan mampu menyelesaikan sedikit kekusutan dalam kepala Malim yang semak.

Sekarang Malim sudah memindahkan sedikit keserabutan kepala malim dalam kepala korang..jadi cuba pindahkan pula keserabutan kepala korang ke kepala malim melalui pendapat-pendapat dan hujjah atau persoalan-persoalan yang nanti akan Malim jawap dengan soalan-soalan yang lain...jadi sebelum Malim mengakhiri kata pengantar ini Malim sudahi dengan pesanan orang yang lebih serabut dari Malim-`SEBAGAIMANA BINATANG CICAK MATI APABILA JATUH KEDALAM CUKA,DEMIKIANLAH JUGA BINATANG CUKA AKAN MATI APABILA JATUH KEDALAM CICAK`-Wallahualam bissawabbbbb

MENCARI















AKU TIDAK TEMUI MANUSIA DALAM KELOMPOK BINATANG....TETAPI AKU LIHAT TERLALU BANYAK BINATANG DALAM KELOMPOK MANUSIA AKHIR ZAMAN INI.
MAKA AKU LEBIH SELESA MENGEMBARA DALAM HUTAN RIMBA INI UNTUK MENCARI ERTI KEMANUSIAAN SEBENAR.